Wednesday, February 8, 2012

Inovasi hijau


Inovasi hijau
Oleh Zef Othman
zefbh@bharian.com.my
2011/10/13

SEPERTI yang diketahui peminat gajet, peranan komputer notebook tertumpu kepada aspek perkomputeran bertenaga di mana memiliki keupayaan bagi meningkatkan produktiviti pengguna.

Pada masa sama, kemunculan telefon pintar dan komputer tablet pula menjurus kepada kecekapan sistem sokongan produk terbabit mengakses internet dengan cekap.
Kini, lahir produk komputer Ultrabook yang dibangunkan dengan gabungan dua ciri utama yang terdapat pada sistem komputer notebook dan telefon pintar atau tablet.
Inovasi terbaru itu dengan jayanya dimanfaatkan syarikat perkakasan teknologi maklumat global, Acer Sales & Services Sdn Bhd (Acer) menerusi model Aspire S3.

Komputer Ultrabook Acer Aspire S3 yang baru dilancarkan di negara ini pada awal Oktober lalu adalah model pertama seumpamanya yang diperkenalkan di negara ini, mengetengahkan fungsi utama komunikasi mudah alih notebook dan telefon pintar di dalam satu perkakasan.



Dalam ruangan gajet kali ini, dua ciri yang dibincangkan adalah aspek reka bentuk dan teknologi sokongan yang digunakan bagi menampung keperluan inovasi Ultrabook untuk segmen pengguna.

Dari segi reka bentuknya, Aspire S3 dibangunkan dengan aspek aero dinamik, mampu menepati keperluan pengguna yang mahukan produk komputer berteraskan ciri mudah alih dan senang untuk dibawa ke mana saja. 
Pada ketebalan 13 milimeter dan seberat 1.4 kilogram, Aspire S3 muncul di pasaran tepat pada masanya, di mana sesuai dimiliki di kalangan segmen pengguna profesional yang sentiasa bergerak.

Rekaan sel terbuka yang diperkenalkan menerusi paparan LED Definisi Tinggi (HD) 13.3 inci Aspire S3 adalah penyumbang utama kepada kenipisan Ultrabook terbabit.

Lapisan luar dan skrin tahan lasak diperkukuhkan menerusi penggunaan kerangka aluminium.

Untuk bateri Aspire S3, ia didatangkan dengan ciri keberkesanan tinggi, yang mana hanya memerlukan tempoh pengecasan lebih pendek dan cekap.

Sejajar dengan kehendak global memberi penekanan terhadap aspek pemuliharaan alam sekitar, difahamkan Acer ketika ini, dalam proses membangunkan bahan berasaskan ciri yang mampu menjamin ke arah pemuliharaan alam sekitar.

Kemunculan Ultrabook Aspire S3 menyerlahkan keupayaan Acer dalam pembangunan produk teknologi moden yang mampu menepati keperluan penggunaan internet era ini.

Aspire S3 berjaya menggabungkan keupayaan sistem komputer peribadi (pc) lengkap dan telefon pintar dalam satu peranti.

Lebih menarik apabila inovasi Acer Green Instant On dan Instant Connect yang dilengkapi menerusi sistem Aspire S3 memudahkan pemiliknya untuk mengakses sistem komputer berkenaan dan seterusnya meningkatkan prestasi pelayaran internet pengguna.

Amalan mesra alam sekitar yang diketengahkan menerusi produk Ultrabook itu turut menggambarkan keseimbangan penyediaan produk berteknologi tinggi untuk pengguna di samping menitik beratkan ciri penjagaan alam semula jadi.

No comments :

Post a Comment