Friday, November 12, 2010

Patriotisme

Penjajahan akan berlaku lagi ke atas negara kita, rakyat akan kembali ditindas dan diperlakukan seperti binatang. Kita akan menjadi hamba dan bahan gelak tawa
oleh bangsa lain. Pencatuan makanan akan berlaku lagi dan kadar inflasi akan meningkat. Rakyat mula melakukan pelbagai demonstrasi, rusuhan dan pemberontakan. Setiap hasil keringat rakyat akan diberi kepada penjajah tanpa sebarang bayaran. Adakah ini yang kita inginkan?

Kenyataan di atas kemungkinan besar akan terjadi apabila kita alpa terhadap golongan yang akan mengorak negara ke arah yang lebih maju. Golongan yang dimaksudkan ialah remaja. Marcapada, remaja bersikap hedonisme dan tidak merasakan diri mereka penting untuk masa depan negara. Sikap ini harus dihapuskan sama sekali dalam diri remaja. Malah sikap patriotisme wajib dipupuk dalam diri remaja agar mereka dapat menjadi benteng bagi menjaga kedaulatan negara.

Maka sebagai remaja, usaha-usaha yang dapat kita lakukan adalah dengan menghayati dan memahami kepentingan patriotisme itu sendiri. Patriotisme penting bagi mewujudkan masyarakat yang sayang akan negara dan berusaha dalam memacu nama negara di persada dunia. Sikap patriotisme dapat dipupuk melalui kajian-kajian terhadap tokoh-tokoh negara mahupun luar negara. Hal ini dapat memberikan remaja sebuah semangat, malah dapat mejadikan tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan sebagai uswah bagi membina sebuah negara yang mapan.

Seterusnya, pemahaman yang mendalam terhadap pelajaran Sejarah di sekolah amatlah perlu. Hak ini kerana dengan memahami dan mengkaji masa silam kita dapat mengatur untuk masa hadapan. Seperti yang sedia maklum British sememangnya merancang untuk menguasai Tanah Melayu dan perkara ini mudah bagi mereka apabila keadaan Tanah Melayu itu sendiri yang tidak stabil kerana pertelingkahan yang berlaku di antara pemimpin-pemimpin Tanah Melayu itu sendiri. Maka perkara ini seharus dijadikan sempadan oleh remaja agar lebih bersikap patriotisme. Hal ini kerana remaja hari ini akan memimpin masa hadapan dan menentukan hala tuju negara.

Kemudian melalui media elektronik, kita juga dapat memupuk semangat patriotisme. Jalur lebar atau 'internet' sudah sinonim dengan masyarakat global hari ini. 'Internet' dapat dijadikan wahana memupuk semangat patriotisme. Hal ini kerana melalui internet, para remaja dapat menyebarkan dan mendapat maklumat dengan mudah. Remaja boleh menghasilkan blog masing-masing bagi menyatakan cinta mereka terhadap negara dan menyatakan idea masing-masing. Kaedah ini pastinya dapat menguatkan lagi jati diri remaja dengan tuntas, mudah dan cepat.

Kemudian kempen '1 Malaysia' juga dapat dilaksanakan di sekolah, kawasan awam dan jalan raya. Jalur gemilang dikibarkan di sekolah, lukisan poster-poster pemimpin, jalur gemilang di kedai-kedai dan jalur gemilang pada kenderaan adalah antara usaha-usaha yang dilaksanakan untuk memupuk semangat patriotime oleh remaja. Perkara ini seharusnya dilaksanakan sepanjang waktu dan bukan sahaja pada Hari Kebangsaan. Hal ini kerana pejuang-pejuang kemerdekaan harus dikenang setiap waktu agar negar dapat memupuk remaja yang bersyukur dan cinta akan tanah air.

Tuntasnya semangat patriotisme perlu dipupuk dalam setiap warganegara sejak daripada dibangku sekolah agar mereka lebih mengenali Malaysia bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Tambahan lagi sebagai remaja penghayatan yang mendalam amat penting kerana remaja kini akan membina negara maju dengan acuan tersendiri. Sesungguhnya jasa-jasa pejuang-pejuang kemerdekaan tidak dapat dibalas dengan ucapan terima kasih sahaja.






1 comment :