Friday, November 12, 2010

Amalan Gaya Hidup Sihat


Kesihatan adalah harta yang amat bernilai bagi setiap manusia. Meskipun perkara ini izhar kepada setiap insan, mereka seolah-olah mengabaikannya. Terdapat golongan yang sanggup berhabis wang ringgit demi mendapatkan kesihatan, namun ada juga golongan yang membuat sambal lewa akan kesihatan diri. Seharusnya kita mempraktikkan gaya hidup sihat kerana kesihatan amat signifikan kepada setiap individu.

Makanan adalah ubat yang paling mujarab di dunia apabila pengambilan makanan yang ideal diamalkan. Namun makanan akan menjadi racun apabila pengambilannya yang tidak seimbang. Setiap makanan mempunyai nutrisi yang tersendiri dan makanan terbahagi kepada beberapa kumpulan seperti karbohidrat, protien dan lipid. Pengambilan makanan yang seimbang dapat membantu tubuh badan kita dalam menghasilkan tenaga, membentuk sel-sel baru di dalam badan dan proses pencernaan yang mapan.

Kemudian kaedah lain yang dapat dipraktikkan, adalah dengan bersukan. Di samping memberi ruang untuk bersosial, sukan membantu kita membuang toksin dalam badan. Toksin dibuang melalui bentuk cecair seperti peluh atau dalam nama lain urea. Urea adalah asid amino yang berlebihan dalam badan dan asid amino yang berlebihan tidak boleh disimpan kerana bahan tersebut memudaratkan badan. Tambahan pula dengan bersukan dapat meningkatkan metabolisme badan. Hal ini, akan mewujudkan kecergasan tubuh badan.

Seterusnya pemeriksaan kesihatan perlu dilakukan, agar kita sentiasa dapat memberi yang terbaik terhadap jasad. Pemeriksaan kesihatan membantu kita dalam pengambilan gula mahupun garam. Maka dengan memeriksa kesihatan memberi kita amaran awal dan kita dapat mengawal gizi harian kita. Sesungguhnya 'mencegah lebih baik daripada merawat'.

Tuntasnya mempraktikkan amalan gaya hidup sihat amat penting untuk setiap individu. Tambahan lagi seandainya setiap individu di negara kita mengamalkan gaya hidup sihat, produktiviti negara dapat ditingkatkan.

No comments :

Post a Comment